Friday, 30 September 2011

Gowind and the sub-systems of SGPV -


Gowind pula diakui sebagai sebuah platform dengan teknologi halimunan antara terbaik pernah dicipta, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) panjang DCNS, iaitu syarikat perkapalan yang membekal kapal selam pertama negara.

Kadar pantulan radar kapal ini sangat rendah menyebabkan ia sukar dikesan musuh dan di rantau Asia, negara yang memiliki aset sedemikian hanyalah Singapura, melalui kapal friget kelas Delta, juga hasil kerjasama dengan syarikat Perancis.

Rudal permukaan ke permukaan Naval Strike Missile (NSM) buatan Norwegia dengan jarak jangkau 180 km (photo : Peterdx-Wiki)

Walaupun dianggap jauh lebih berkemampuan berbanding Sigma 10614 dalam aspek halimunan, kekurangan Gowind adalah belum teruji sepenuhnya kerana DCNS sendiri, masih membuat beberapa kajian.

Sebenarnya, selain daripada pemilihan platform yang memiliki teknologi halimunan termoden, program LCS juga bakal menyaksikan kemasukan peluru berpandu pertahanan udara, antikapal permukaan serta sistem antikapal selam tercanggih di rantau ini.

Ini kerana, bagi pertahanan udara umpamanya, peluru berpandu Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM) keluaran Amerika Syarikat (AS), yang mampu memusnahkan mana-mana pesawat moden sehingga jarak 50 kilometer (km) dikatakan menjadi pilihan TLDM.

Begitu juga dalam aspek antikapal permukaan. TLDM khabarnya telah memilih untuk menggunakan peluru berpandu berteknologi halimunan buatan Norway, Naval Strike Maritime (NSM) yang mampu menyerang kapal musuh sehingga jarak 180 kilometer.

Bagi menangani ancaman kepal selam pula, TLDM memilih untuk menggunakan sistem torpedo sedia ada, tetapi kemampuan sistem sonar akan dipertingkatkan seoptimum mungkin dengan pemasangan Hull Mounted Sonar (HMS).

Jika perkara itu menjadi kenyataan, sejarah bakal tercipta kerana inilah kali pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memiliki payung perlindungan udara sehingga jarak 50 km, selain TLDM sendiri bakal menjadi pengguna pertama ESSM di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, kemasukan NSM dalam inventori TLDM juga bakal melonjakkan kuasa tempur organisasi tersebut memandangkan, peluru berpandu jenis Exocet 40 Blok II yang dipasang pada Friget Kelas Jebat dan Korvet Kelas Kasturi hanya mempunyai jarak membunuh sehingga 70 km.

Satu lagi peluru berpandu antikapal milik TLDM yang dipasang pada kapal Korvet Kelas Laksamana, iaitu Otomat Teseo Mk2 juga masih tidak mampu menandingi jarak dan kecanggihan NSM kerana hanya mampu menenggelamkan kapal musuh sehingga jarak 130 km.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengakui, hanya kapal kelas Sigma 10614 dan Gowind sahaja yang masih kekal dalam senarai pendek untuk program pembangunan LCS.

Bagaimanapun katanya, segala keputusan akhir mengenai platform mana yang hendak dipilih terletak sepenuhnya di tangan kerajaan kerana selain pertimbangan teknologi, faktor kemampuan kewangan kerajaan turut diambil kira.

Namun tegasnya, sebagai pengguna, TLDM sudah pasti mahukan sebuah platform yang ampuh, bukan sahaja dalam soal halimunan dan kemampuan peperangan tiga dimensi tetapi, kapal yang hendak dipilih mestilah telah terbukti kemampuannya.

Menurut Abdul Aziz, ini kerana LCS bakal berada di barisan hadapan perairan negara, sehingga jarak 200 batu nautika dan dengan mengambil kira ketegangan di kepulauan Spratly, sudah tentu aset tempur itu akan lebih banyak 'bermain' di Laut China Selatan.

"Program ini merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh TLDM kerana jika tidak, negara akan rugi. Kapal LCS bukan sahaja mampu memastikan kedaulatan negara terus terpelihara tetapi industri pertahanan tempatan juga akan meraih limpahan teknologi.

"Jika peluang ini dilepaskan atau memakan masa terlalu lama, TLDM bakal berdepan dengan kekangan dari segi jumlah aset kerana banyak kapal permukaan kami telah diserah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Ini sudah pasti menjejaskan operasi kami," katanya.

Mengenai jenis persenjataan yang bakal dipasang, beliau enggan mengulas secara terperinci tetapi mengesahkan TLDM berminat dan berhasrat untuk menggunakan sistem persenjataan baru bagi meningkatkan lagi keupayaan cegah rintang negara.

Katanya, beberapa jenis sistem persenjataan baru telah dinilai oleh TLDM dan perkara itu jika tiada sebarang masalah akan dipasang terus kepada kapal LCS kerana pembinaan aset tempur tersebut tidak lagi mengaplikasi konsep 'fitted for, but not with'.

"Apa yang saya boleh sahkan ialah apabila siap, kapal ini bakal memberi peningkatan berganda kepada elemen cegah rintang kerana ia akan dilengkapi dengan sistem peperangan tiga dimensi yang jauh lebih mantap dan berbisa, berbanding apa yang kita ada sekarang," ujarnya.

FROM DEFENCE STUDIES

No comments:

Post a Comment