Thursday 14 February 2019

Pelupusan bot nelayan Vietnam ikut pekeliling - Maritim Malaysia



Proses pelupusan dua bot nelayan Vietnam yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Kudat baru-baru ini, dibuat berdasarkan pekeliling ditetapkan iaitu dengan cara ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah, Kepten Maritim Asmawati Mohd Tujeri, berkata berkata bot nelayan asing yang dilucut hak tidak dibenarkan sama sekali digunakan semula dan perlu dimusnahkan secara potong tanam atau ditenggelamkan.
Katanya, agensi itu juga melantik syarikat tempatan berpusat di Kudat untuk melaksanakan kerja pelupusan bot terbabit tanpa membabitkan sebarang kos.
“Maritim Malaysia di seluruh Malaysia telah melaksanakan pelupusan melalui kaedah ini sejak sekian lama. Kerja pembersihan dan pelupusan yang dijalankan tidak membabitkan sebarang peruntukan wang kerajaan dan ditanggung sepenuhnya pihak syarikat yang dilantik.
“Melalui pendekatan ini, Maritim Malaysia dapat menjimatkan sejumlah besar wang kerajaan yang perlu diperuntukkan untuk melaksanakan kerja pelupusan bot terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Ia sebagai menjawab kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong, semalam berhubung pelupusan dua bot Vietnam terbabit yang didakwa dilakukan secara rundingan terus kepada dua syarikat, dipercayai proksi parti pembangkang tanpa pengetahuan pihak kementeriannya.
Wong dilaporkan berkata, dua syarikat itu tidak menuntut sebarang kos untuk kerja pelupusan kerana dipercayai memperoleh hasil dengan menjual semula aset bot termasuk enjin yang dianggar berharga RM50,000 sedangkan mahkamah mengarahkan agar kedua-dua bot kayu itu ditenggelamkan bersama semua aset termasuk enjin.
Asmawati berkata, agensi itu tidak menawarkan sebarang sebut harga bagi pelupusan bot terbabit kerana ia tidak membabitkan sebarang nilai kepada kerajaan.
“Maritim Malaysia ingin menegaskan bahawa tidak timbul isu pelupusan bot dilakukan secara diam-diam dengan tiada proses sebut harga dilaksanakan seperti digembar-gemburkan dalam media.
“Proses penenggelaman bot dilaksanakan setelah segala prosedur dipatuhi serta mendapat kelulusan agensi dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Laut bagi mendapatkan posisi selamat bot ditenggelamkan dan Jabatan Alam Sekitar bagi menentukan bot dalam keadaan bersih daripada kotoran minyak yang boleh menyebabkan pencemaran laut.
“Proses penenggelaman bot di perairan Kudat ini akan dilaksanakan dengan disaksikan pegawai yang dilantik daripada agensi sendiri dengan melengkapkan Sijil Pelupusan (KEW.PA-23) dan Sijil Penyaksian Pemusnahan (KEW.PA 22) bagi diserahkan kepada ibu pejabat untuk direkod dan dimaklumkan kepada Perbendaharaan,” katanya.





No comments:

Post a Comment