LUMUT, 1 Mei 2026 – Lumut Navy City Parade sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92 telah berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Lumut. Acara bersejarah ini turut menandakan pengiktirafan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim—status yang telah diisytiharkan sejak 2009.
DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Lumut Navy City Parade. Keberangkatan baginda yang mewakili DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, telah disambut oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, serta Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin bin Wan Md Nor.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, barisan Orang Besar Negeri, Jawatankuasa Laksamana TLDM, serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan acara, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap TLDM dan peranan strategiknya dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Sebanyak 24 kontinjen telah menyertai perarakan melibatkan TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penyertaan komuniti setempat.
Kemeriahan acara turut disemarakkan dengan lintas hormat aset-aset maritim TLDM dan APMM sebagai simbol kekuatan serta kesiapsiagaan pertahanan negara di perairan.
Secara keseluruhannya, Lumut Navy City Parade 2026 bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, malah menegaskan komitmen berterusan Tentera Laut Diraja Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara serta memperkukuh hubungan erat antara angkatan tentera dan rakyat.
No comments:
Post a Comment