Friday, 18 February 2011

Persembahan Aerobatik 1Malaysia Tarikan Baru LIMA'11

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Persembahan aerobatik oleh 1Malaysia Air Display Team menerusi lima pesawat Extra 330 milik syarikat Aero 3 dari Jerman, bakal menjadi tarikan istimewa pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA'11) pada Disember depan.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Sri Rodzali Daud berkata pesawat-pesawat itu akan diterbangkan oleh juruterbang TUDM sepanjang seminggu penganjuran LIMA'11 mulai 6 hingga 12 Dis nanti.

"Pesawat pertama Aero 3 sudah diterima dan kini sedang menjalani latihan. Kita jangkakan ia akan diterbangkan untuk membuat persembahan pertama sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang pada 12 Mac nanti," katanya kepada pemberita selepas pelancaran LIMA'11 oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini Rabu.

Rodzali berkata 1Malaysia Air Display Team, yang merupakan kerjasama industri antara Aero 3 dan TUDM, juga akan menyertai pameran di luar negara selain terbabit dalam persembahan dan pameran di peringkat kebangsaan dan negari.

Beliau berkata untuk permulaan, pesawat itu yang berpangkalan di Pangkalan Udara Sungai Besi, akan dikendalikan oleh juruterbang TUDM.

Rodzali berkata selain itu, penglibatan kali pertama pesawat komersil juga akan menjadi tarikan penganjuran LIMA'11.

"Sehingga kini empat syarikat penerbangan telah memberi persetujuan untuk turut serta dan kita akan cuba bawa untuk pamerkan pesawat-pesawat baru seperti Airbus A380," katanya.

Menurutnya walaupun kumpulan aerobatik Suryakiran dari Tentera Udara India dan Red Arrow Tentera Udara DiRaja United Kingdom tidak dapat menyertai LIMA'11, namun ia tidak akan mengurangkan tarikan LIMA'11 berikutan penyertaan aerobatik dari pasukan China, Australia, Itali, Pakistan, United Kingdom dan Rusia.

"Sukhoi SU-30MKM, MIG-29N,MB-339CM, FA-18D Hornet juga akan turut terlibat membuat persembahan," katanya.

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula, persembahan demonstrasi melibatkan agensi penguatkuasaan maritim seperti Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Bomba dan Kastam akan menjadi tarikan selain kapal selam TLDM.

"Seperti LIMA09, tahun ini kita akan bawakan juga salah satu kapal selam kita untuk orang ramai melihatnya secara lebih dekat," katanya.

Sehingga kini, katanya sebanyak empat negara telah melahirkan persetujuan untuk turut serta dalam LIMA'11 dan menjangkakan penyertaan itu bertambah dari semasa ke semasa.

"Sehingga kini, empat negara jiran telah bersetuju dengan tujuh buah kapal kesemuanya dan kita harap penyertaan kapal-kapal negara luar akan mencecah hingga 12 buah kesemuanya seperti yang kita terima pada LIMA dua tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Dr Ismail Ahmad berkata sehingga kini, sebanyak 65 penyertaan diterima dan dijangka mencapai 90 peratus pada akhir September nanti.

Katanya LIMA'11 dijangka yang terbaik penganjurannya dengan kerjasama kali pertama daripada agensi komersil termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

"LIMA'11 menjangka menarik 500 syarikat dan lebih 50 ribu pengunjung dan pelabur. Sehingga kini, 31 buah negara telah bersetuju untuk turut serta yang pastinya akan memberi impak yang besar kepada negara," katanya.

Ismail berkata LIMA'11 hanya akan dibuka kepada delegasi dan pelawat perdagangan dari 6 hingga 8 Dis manakala 9 hingga 10 Dis dibuka untuk pelawat awam.

Pameran akan diadakan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dari 10 hingga 5 petang dengan bayaran tiket RM10 seorang, kadar yang sama pada LIMA09 " katanya.

Karnival Pelancongan LIMA'11 di Awana Porto Malai pula akan dibuka dari 10 hingga 12 tengah malam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment